Pelantar Transformasi Sosial dibentuk untuk memastikan penyelidikan dalam bidang Transformasi Sosial dijalankan secara berintegrasi terhadap disiplin-disiplin yang berkaitan yang terdapat di USM. Bidang tugas utama Pelantar Transformasi Sosial adalah untuk menubuhkan kluster penyelidikan transformasi sosial berdasarkan kepakaran yang ada di USM, memudahkan permohonan geran dan memastikan output penyelidikan yang berkualiti serta memberi impak kepada masyarakat.

 

Pelantar ini dipertanggungjawab terus kepada Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) dengan nasihat Jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Dekan Penyelidikan. Ahli-ahli Jawatankuasa Pelantar Transformasi Sosial yang dilantik mewakili kepakaran bidang masing-masing. Fungsi Jawatankuasa Pelantar Transformasi Sosial antara lain adalah untuk membantu Jawatankuasa Pengurusan Penyelidikan di dalam meningkatkan budaya penyelidikan di kalangan staf universiti melalui aktiviti-aktiviti penilaian dan perakuan cadangan penyelidikan yang dikemukakan oleh penyelidik.

 

Kebanyakan penyelidik-penyelidik yang menjalankan penyelidikan kemasyarakatan terdiri daripada kakitangan akademik dari pusat pengajian berikut; Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan, Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh dan Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan, Pusat Pengajian Sains Kesihatan, Pusat Pengajian Komunikasi, Pusat Pengajian Pengurusan dan dari pusat-pusat penyelidikan yang terdapat di USM.